July 6, 2014

Patah

Assalamualaikum dan salam ramadhan,

Betul kata Ros, bekerja dalam sektor perubatan memerlukan kepakaran dan fokus yang tinggi. Sedikit kelalaian boleh mengakibatkan kemudaratan berterusan. Yang tak sakit mungkin akan sakit dan yang sakit bertambah sakit. Hal ini boleh jadi disebabkan doktor tersalah diagnosis penyakit ataupun pharmacist tersalah memberi ubat kepada pesakit.  Itu yang berlaku kepada emak, tangan patah.

Sudah hampir 2 minggu lebih mak jatuh, dan telah mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik. Pengimejan diagnostik (x-ray) yang dilakukan oleh doktor di klinik itu tidak dapat memastikan keretakan tulang bahu dan engsel yang teralih sedikit. Mungkin bukan kepakarannya lalu mengandaikan ia hannya sekadar terseliuh. Jadi dalam tempoh itu mak hanya diberi ubat tahan sakit dan cuba berurut secara tradisional.

Akibat rasa sakit yang tidak kurang baiknya dan desakan ayah untuk membawa mak melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah poliklinik barulah keretakan tulang tadi dikesan. Dan seterusnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital untuk disimen. Mujurlah mak tidak ditahan wad dan hanya dibenarkan pulang selepas waktu berbuka pada hari itu.

Walaupun insiden ini tidak melibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa, tetapi ia cukup membuatkan kami berjaga-jaga dan berhati-hati, lebih-lebih lagi ia melibatkan kedua orang tua. Aku tak dapat bayangkan kesakitan yang ditanggung oleh emak dalam tempoh itu, tidur tidak lena, makan kurang berselera, sakit perut dan sebagainya kesan akibat tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Aku sebagai model tak berbayar -.-'

Hari minggu lepas, aku pulang lagi dan terfikir untuk membelikan mak fabric sling. Aku saja memilih corak kartun agar nampak ceria dan menceriakan hari emak. Rupanya ayah terlebih dahulu membelikannya, warna biru yang klise itu~ haha. Memandangkan mak dah ada satu, so aku letak je la kat tepi. Rupanya mak guna juga yang aku beli. Terharu. 

Lebih hiba, ketika kami berkumpul berbuka ketika hari pertama berpuasa, mak tidak menyentuh kerang yang dimasaknya, mak diam aje mungkin taknak mengganggu anak-anak yang pelahap semua tak ingat dunia. Dengan tangan kanan yang sakit itu pasti menyukarkan pergerakannya, aku perasan lalu aku kopekkan dia sedikit. Aku terfikir, macamana dengan hari-hari lain ketika aku tiada?

Kini ayah menggalas tugas-tugas yang biasanya emak buat seperti membasuh, mengemas rumah dan memasak waktu berbuka. Terima kasih ayah! 

Walaupun emak suka membebel dan keras kepala, tapi dia adalah satu-satunya emak yang kami ada. Aku amat jarang dan susah menitiskan air mata tapi jika melibatkan emak, memang aku beremosi. Raya tahun ni pasti kurang meriah tanpa masakan air tangan mak, tapi tak mengapalah.. mak rehat je tak payah susah-susah masak dan jangan buat kerja berat. Doa kami semoga emak cepat sembuh ye...

CLOSE

Copyright reserved by Zero to Hero's Blog Edited by Caersasuke